Posted by: sandakan | February 18, 2011

3 Tahun Kemudian…

Project yang SAMA, ditolak DUA kali, atas sebab-sebab yang SAMA.

Hanya di Sabah.

3 tahun yang lalu, pada bulan April 2008, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata (bagi pihak Jemaah Menteri, Kerajaan Sabah Barisan Nasional):

Setelah menimbang akan kebaikan dan keburukannya, Kabinet memutuskan MENOLAK cadangan ini kerana kita TIDAK MAHU MENGGADAIKAN kebajikan masyarakat di kawasan itu termasuk dari segi KESIHATAN DAN KESAN BURUK terhadap alam sekitar.

 

3 tahun kemudian, setelah mengambilkira fakta-fakta, maklumat, dan bantahan-bantahan yang SAMA, beliau dan Kerajaan Barisan Nasional membuat keputusan yang SAMA, sekali lagi

Tahniah!! (Tapi, jika “Rakyat DIDAHULUKAN“, kenapa perlu tunggu selama 3 tahun??)

Kami berharap bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak akan mengulangi/mempermainkan isu ini lagi, dan tidak perlu membuat ‘keputusan’ yang SAMA lagi (khususnya selepas Pilihanraya)… 

 

LOJI ARANG BATU TIDAK AKAN DIBINA 
17th February, 2011

http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/46326

KOTA KINABALU: Kerajaan telah mengambil keputusan untuk tidak membina loji janakuasa arang batu di negeri ini,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman kelmarin.

Sehubungan dengan keputusan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membangunkan sumber tenaga alternatif iaitu dengan menggunakan gas atau Gas Asli Cecar (LNG) bagi memenuhi keperluan bekalan tenaga di Sabah termasuk di kawasan Pantai Timur yang kerap mengalami kekurangan tenaga elektrik.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Wisma Innoprise di sini, kelmarin.

Pada September 2009, Najib mengumumkan Felda Sahabat di Lahad Datu dicadangkan sebagai tapak bagi pembinaan loji janakuasa arang batu itu dengan kapasiti 300-megawatt. sebagai langkah untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga di kawasan Pantai Timur.

Bagaimanapun cadangan berkenaan telah mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), aktivis alam sekitar dan parti-parti politik.

Musa berkata, Perdana Menteri juga mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Petronas untuk berbincang mengenai apa yang terbaik sama ada dengan menggunakan gas atau LNG.

“Saya sedar bahawa terdapat bantahan terhadap cadangan pembinaan loji arang batu… pada hari ini terbukti bahawa segala bantahan berkenaan telah diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya

Musa berkata, bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Sabah, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri yang bukan sahaja memberikan perhatian yang serius kepada keperluan bekalan tenaga di Sabah, bahkan juga keprihatinan yang tinggi terhadap alam sekitar di negeri ini.

Menurutnya, Perdana Menteri amat memahami bahawa sementara kita perlu meningkatkan keupayaan bekalan tenaga di Sabah, ia tidak boleh dilakukan dengan mengabaikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Beliau (Najib) juga memahami bahawa salah satu daripada aset berharga yang dimiliki oleh Sabah ialah daya tarikan alam semula jadi yang masih terpelihara,” katanya.

Musa berkata, sementara Sabah perlu meningkatkan bekalan tenaga untuk memenuhi keperluan pembangunan, kita tidak boleh mengambil sebarang risiko kepada alam semula jadi.

Menurutnya, sebagai kerajaan Barisan Nassional(BN) yang bertanggungjawab, sememangnya menjadi keutamaan untuk melindungi dan memelihara kelestarian alam semula jadi demi kesejahteraan rakyat.

Kita mesti melindungi khazanah ini khususnya alam semula jadi kita kerana ia merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada sektor pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan aktiviti ekopelancongan dan yang berbentuk nature adventure bergantung kepada sejauh mana kita dapat memelihara khazanah alam semula jadi dan tidak mendedahkan kepada sebarang risiko.

Musa berkata, Kerajaan BN, bawah kepimpinan Najib sentiasa mendengar dan merasai denyutan nadi rakyat dengan mempunyai keazaman dan iltizam yang tinggi dalam membuat keputusan yang bukan mudah untuk tidak membina loji arang batu di sabah.

Kita sentiasa melaksanakan pendekatan seimbang dan mapan dalam memacu pembangunan,” katanya.
 

 

Projek loji arang batu dibatalkan, hadiah Tahun Baru penduduk Sabah 
18th February, 2011
http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/46370

KOTA KINABALU: Lebih 3.3 juta penduduk Sabah kini boleh merasa lega kerana kerajaan akhirnya memutuskan tidak akan membina loji tenaga arang batu di negeri ini.

Keputusan yang telah lama ditunggu-tunggu itu membuktikan konsep 1Malaysia kerajaan memang memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat.

Ketika menyampaikan berita gembira itu semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sebuah “kerajaan yang sentiasa mendengar suara dan merasai nadi rakyat”.

Pengumuman itu dibuat tepat pada masanya kerana kerajaan persekutuan dan negeri juga bersetuju menggunakan gas cecair asli (LNG) untuk menjana tenaga dan bukan tenaga yang menggunakan arang batu.

“Ini satu hadiah tahun baru untuk penduduk Sabah. Keputusan ini adalah betul dan ia mencerminkan sensitiviti BN terhadap rungutan penduduk.

“Ia bermakna bahawa Ketua Menteri kita mendengar dan kita dalam Parti Bersatu Sabah (PBS) pastinya mengalu-ngalukan keputusan ini,” kata setiausaha agung PBS Datuk Henrynus Amin kepada Bernama, di sini hari ini.

Untuk ini, beliau mengucapkan tahniah kepada Musa atas keputusan berani beliau untuk membatalkan cadangan projek loji arang batu itu di Lahad Datu bagi kebaikan penduduk.

“Kita percaya bahawa kerajaan negeri mestilah mengambil kira semua faktor ini sebelum membuat keputusan,” kata beliau.

Penganalisis politik tempatan Edward Kandok melihat perkembangan ini sebagai satu lagi kelebihan kepada BN untuk mengukuhkan kedudukannya di Sabah, dengan jolokan nama “simpanan tetap” untuk Barisan Nasional.

“Inilah jenis kerajaan yang kita mahu. Saya percaya majoriti penduduk tempatan bergembira dengan keputusan kerajaan bahawa akhirnya lenyaplah isu loji tenaga arang batu,” kata beliau.

Kandok berkata ini juga menunjukkan bahawa kerajan negeri memang prihatin dan mampu menjuarai untuk kepentingan penduduk Sabah.

Pada September 2009, Najib mengumumkan Felda Sahabat di Lahad Datu adalah tapak cadangan untuk pembinaan loji tenaga arang batu.

Kini, kemampuan bekalan elektrik di pantai timur Sabah adalah 200 megawatt dari loji tenaga berasaskan diesel.

Kumpulan alam sekitar seperti Green Surf membantah pembinaan loji tenaga arang batu, yang mereka anggap sebagai tenaga “kotor” dan menggesa kerajaan membatalkan rancangan itu.

Bagaimanapun, pada Ogos tahun lepas, Jabatan Alam Sekitar telah menolak Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) untuk projek itu tetapi Tenaga Nasional Bhd (TNB), dalam Laporan Tahun 2010, menyebut bahawa laporan “DEIA yang dikaji semula akan dikemukakan untuk kajian dan kelulusan” untuk loji 300MW.

Di Sandakan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Au Kam Wah yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd yakin keputusan kerajaan beralih kepada penggunaan LNG adalah tepat bagi menjana tenaga di negeri ini.

Beliau yakin penggunaan sumber tenaga itu akan mengatasi masalah kekurangan tenaga elektrik di negeri ini terutama di kawasan pantai timur negeri termasuk di daerah ini bagi menjana pembangunan dan keselesaan rakyat.
 


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: