Posted by: sandakan | April 26, 2009

Indonesia Sambut Baik Bekalan Elektrik Dari Bakun

Dengan segala hormatnya, Y.A.B. Dato’ Seri Najib Tun Razak,

Penduduk Sandakan juga Sambut Baik Bekalan Elektrik Dari Bakun!!

Tenaga Hydro yang Bersih dari Bakun akan diekspot ke Indonesia, tetapi bukan Sabah.
Tenaga Hydro yang Bersih dari Bakun akan diekspot ke Indonesia, tetapi bukan Sabah?

Mengapakah mesti sumber-sumber tenaga kita yang bersih dan selamat seperti gas semulajadi (Kimanis, Sabah) dan hydro (Bakun, Sarawak) diekspot untuk kegunaan orang-orang lain, manakala rakyat kita sendiri terpaksa menggunakan bahan-bahan yang kotor seperti ARANG BATU dan menanggung risiko/bahaya yang tidak perlu/tidak sepatutnya (unnecessary)?!

Lagipun, YAB Perdana Menteri telah memberikan Sebab Ke-31 Mengapa Stesen Janakuasa Elektrik Arang Batu TIDAK diperlukan di Sabah, iaitu:

“Ini juga supaya kita dapat menentukan ‘energy mix’ kita dapat ditingkatkan komponen hidro yang boleh memberi pulangan yang lebih baik daripada gas yang akan pupus atau arang batu yang terpaksa diimport dari luar negara.

Apakah yang paling ironik dan menyedihkan adalah, Arang Batu yang dicadangkan diguna di Sandakan/Pantai Timur Sabah akan diimport dari Kalimantan, Indonesia!! Kesimpulannya, rakyat Sabah mengekspotkan gas semulajadi kami yang bersih ke Sarawak untuk mendapatkan, sebagai balasan, Arang Batu yang kotor dan bahaya dari Kalimantan, Indonesia, bukan tenaga hydro dari Sarawak!!

Oleh yang demikian, Rakyat Sandakan dengan rendah diri memohon jasa baik YAB Perdana Menteri supaya membatalkan cadangan membina stesen janakuasa ARANG BATU di Sabah, dan menggantikannya dengan tenaga hydro dan gas semulajadi yang sedia ada di Negeri Sabah dan Sarawak. Sumber tenaga kita harus diekspot hanya jika tidak diperlukan oleh rakyat kita sendiri.

############################

Indonesia Sambut Baik Bekalan Elektrik Dari Bakun

23 April, 2009 22:55 PM

Oleh Mohd Nasir Yusoff

JAKARTA, 23 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Indonesia menyambut baik kemungkinan Malaysia dapat mengeksport bekalan elektrik dari projek elektrik hidro Bakun di Sarawak ke Kalimantan bagi memenuhi keperluan wilayah di negara jiran itu.

Perdana Menteri berkata Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan reaksi itu pada perbincangan dua hala yang mereka adakan di Istana Merdeka, yang turut melibatkan sebahagian anggota Kabinet kedua-dua negara di sini Khamis.

Perbincangan dua hala itu diadakan sempena lawatan rasmi Najib yang pertama sebagai Perdana Menteri ke Indonesia, yang diangkat oleh Indonesia daripada status lawatan kerja menjadi lawatan rasmi.

Saya telah menawarkan kemungkinan kita membantu keperluan tenaga bagi Kalimantan dan ini telah disambut baik oleh Presiden Susilo,” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi dua hari itu.

Najib berkata menteri-menteri berkenaan di kedua-dua negara selepas ini akan berunding selanjutnya untuk memuktamadkan juga laluan kabel bawah laut Malaysia untuk tujuan menghantar elektrik dari Bakun ke Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri berkata kira-kira 70 peratus daripada kabel bekalan elektrik di bawah laut itu akan melalui kawasan Indonesia, merentasi perairan Kepulauan Natuna di Laut China Selatan.

Ketika menjawab soalan sama ada Malaysia akan menawarkan harga yang istimewa untuk bekalan ke Kalimantan, beliau berkata ia belum dibincangkan dan masih perlu dirunding oleh kedua-dua negara.

Menjelaskan mengenai projek elektrik hidro Bakun itu, Najib berkata Malaysia memutuskan untuk membangunkannya semula kerana ia penting bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik negara khasnya di Semenanjung**.

[**Bagaimana pula Sabah??]

“Ini juga supaya kita dapat menentukan ‘energy mix’ kita dapat ditingkatkan komponen hidro yang boleh memberi pulangan yang lebih baik daripada gas yang akan pupus atau arang batu yang terpaksa diimport dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata itu merupakan satu daripada bidang kerjasama baru yang disentuh dalam mesyuarat dua hala itu, iaitu memenuhi keperluan tenaga.

Najib berkata dalam mesyuarat dua hala yang merupakan kesinambungan daripada kata sepakat yang dicapai semasa pertemuan konsultasi tahunan 2009 antara bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Susilo, satu lagi bidang baru yang disentuh ialah kerjasama dalam bidang teknologi tinggi.

“Saya menegaskan bahawa kerjasama kita patut menjangkau dari bidang paling asas hinggalah ke bidang ‘hitech’. Kita bercita-cita hendak tingkatkan lagi nilai dalam ‘value chain’ kedua-dua negara dan dengan itu dapat saling membantu,” katanya, yang menambah bahawa Malaysia dan Indonesia mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Beliau memberi contoh, Malaysia mempunyai kepakaran dalam ‘MRO’ (penyelenggaraan, pembaikian dan rombak pulih) dalam bidang angkasa, kemampuan daripada segi pertahanan dan ICT.

“Jadi Indonesia patut melihat kemungkinan untuk mereka memberi peluang kepada Malaysia dalam bidang hitech,” katanya, yang menambah ia juga meliputi kemahiran memperbaiki kapal, membina kapal dan persenjataan ringan.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah membeli beberapa pesawat pengangkut ringan yang dikeluarkan oleh Indonesia, dalam usaha ke arah kerjasama lebih luas dalam bidang teknologi tinggi.

Malam ini, Najib, yang disertai isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan delegasi Malaysia diraikan pada jamuan malam rasmi oleh Susilo dan isteri, Ibu Ani Yudhoyono di Istana Merdeka sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

— BERNAMA

#############################

Tender Projek Petronas Di Kimanis Sedang Dibuka

11 Mac, 2009 15:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Petronas kini melaksanakan tawaran tender bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyiapsediaan projek pembangunan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis Sabah, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Tawaran tender itu terbuka kepada kontraktor-kontraktor yang berkelayakan dan berdaftar dengan Petronas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkaitan keseluruhan skop dan kos projek Petronas di Kimanis, Sabah dan kaedah pelantikan kontraktor pelaksana bagi projek itu.

Amirsham berkata projek pembangunan SOGT melibatkan dua komponen utama iaitu kerja-kerja penyediaan tapak dan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyiapsediaan.

Tawaran tender bagi kerja-kerja penyediaan tapak telah dibuat secara terbuka kepada kontraktor-kontraktor Bumiputra termasuk dari Sabah yang berkelayakan dan berdaftar dengan Petronas, katanya.

Kos bagi kerja-kerja tersebut dianggarkan sebanyak RM100 juta.

Amirsham menjelaskan bahawa Petronas sedang menjalankan Projek Bersepadu Minyak dan Gas Sabah-Sarawak yang melibatkan pembangunan sektor huluan di luar pantai Sabah dan sektor hiliran di Kimanis, Sabah iaitu SOGT dan Saluran Gas Sabah-Sarawak (SSGP).

Di bawah projek bersepadu itu, Amirsham berkata pengeluaran minyak dan gas daripada pembangunan beberapa lapangan minyak dan gas baru di luar pantai Sabah akan disalurkan ke SOGT.

Bagi tujuan itu, Amirsham menjelaskan bahawa SOGT akan dilengkapi dengan kemudahan penerimaan, penyimpanan dan pengeksportan minyak mentah serta kemudahan-kemudahan lain.

Ianya juga akan dilengkapi dengan kompleks pejabat, operasi, penyelenggaraan dan gudang penyimpanan alat ganti, katanya.

SOGT yang dijangka siap dan mula beroperasi pada 2012 akan mempunyai jumlah kapasiti penyimpanan sebanyak 2.5 juta tong minyak mentah dan mampu mengendalikan sebanyak 300,000 tong minyak mentah sehari dan lebih kurang 1.250 juta kaki padu gas sehari.

Minyak mentah dan kondensat yang diterima SOGT kemudiannya akan dijual ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Sebahagian daripada gas yang diterima SOGT pula akan dimanfaatkan untuk kegunaan sektor elektrik dan industri hiliran.

Sebahagian lagi akan disalurkan ke Kompleks LNG Petronas di Bintulu melalui saluran paip sejauh 500 kilometer** yang akan dibina di bawah projek SSGP, kata senator itu.

— BERNAMA

[**Nota: Jarak dari Sandakan ke Kimanis, Papar, melalui jalanraya hanyalah lebih kurang 390 km sahaja!! Oleh itu, kalau saluran paip ini boleh dibina dari Kimanis, Sabah, ke Bintulu, Sarawak, tentulah tiada masalah untuk membina saluran paip yang sama untuk menyalurkan gas semulajadi ini ke Sandakan sebagai sumber untuk menjanakuasa elektrik!]


############################

Projek Gas Kimanis-Bintulu Bawa Kesan Berganda Untuk Rakyat Dan Ekonomi Sabah

November 20, 2008 18:52 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) — Projek Petronas di Sabah terutama projek saluran gas Kimanis ke Bintulu akan membawa banyak kesan penggandaan kepada rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya projek itu akan menyaksikan pertumbuhan kawasan bandar dan pusat perindustrian yang baru, peluang perniagaan, pekerjaan dan pembangunan modal insan, sekaligus menyokong industri berasaskan minyak dan gas di negeri ini.

Beliau berkata melalui projek terminal minyak dan gas Kimanis ke Bintulu, Sarawak itu, sumber gas yang dikeluarkan dari luar pantai Sabah akan didaratkan di Kimanis.

“Sebahagian daripada gas yang dikeluarkan akan dibekalkan untuk kegunaan sektor tenaga dan perindustrian di Sabah dan selebihnya akan disalurkan ke kompleks LNG Petronas di Bintulu,” katanya dalam teks penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran.

Sehingga 1 Januari 2008, katanya jumlah rezab gas di luar pantai Sabah ialah sekitar 12.7 trilion kaki padu atau kira-kira 14 peratus daripada jumlah rezab gas negara.

Musa berkata medan gas yang terdapat di luar pantai Sabah adalah kecil dan berselerak, tidak seperti medan-medan gas di luar pantai semenanjung dan Sarawak.

Oleh itu, beliau berkata pembangunan rezab gas di luar pantai negeri ini perlu dijalankan secara berkelompok yang dijangka melibatkan kos yang tinggi.

Katanya kos pelaburan pembangunan loji minyak,gas dan petrokimia pada masa ini adalah terlalu tinggi berikutan peningkatan harga pasaran bahan binaan dan peralatan termasuk harga besi dan keluli yang meningkat sebanyak 225 peratus sejak lima tahun yang lepas.

Musa berkata sebahagian daripada gas yang bakal didaratkan telah diperuntukkan untuk kegunaan sektor tenaga dan perindustrian di Sabah.

Beliau berkata Petronas dan Yayasan Sabah telah mengadakan usahasama bagi pembangunan sebuah loji janakuasa elektrik dengan kapasiti sebanyak 300 MW di Kimanis.

Pembinaan loji itu dijangka memperkukuhkan lagi sektor tenaga di Sabah dan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri lain di negeri ini, katanya.

— BERNAMA


Responses

  1. Not sure that this is true:), but thanks for a post.
    Hobosic


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: